CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »


"Setiap Lebaran Selalu Menyaksikan Cerita Menarik Dan Unik ,Untuk Hati Yang Mahu Menerima Kebenaran"

Thursday, October 16, 2008

Rasuah musnah pembangunan, sistem masyarakat


Tamakkan kemewahan segera tutup pintu hati manusia daripada mengingati Allah. Selari dengan firman Allah Taala yang berfirman melalui surah al-Mukminun ayat 71 yang bermaksud:
"Andai kata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, maka pasti binasalah langit dan bumi dan segala yang ada di dalamnya."

Biarpun ramai menyedari perbuatan makan suap atau rasuah adalah haram dan dibenci Allah dan undang-undang dunia, gejala rasuah terus berkembang di kalangan masyarakat, sama ada pada peringkat atasan atau bawahan. Dua kemungkinan yang membawa kepada hebatnya gejala ini dengan terus berleluasa di kalangan masyarakat kerana ketidak fahaman terhadap istilah rasuah dan juga kerana kuatnya perasaan tamak dan haloba untuk memiliki kekayaan dengan cepat. Perbuatan tumbuk rusuk ini bukanlah perkara baru dalam kehidupan masyarakat moden kini. Justeru ia dianggap sebagai suatu perbuatan biasa dan lazim dalam kehidupan seharian, maka gejala rasuah kini menjadi salah satu jenis penyakit sosial yang sukar diubati.

Dalam perkembangan ekonomi sesebuah negara, rasuah menjadi ancaman cukup berbahaya. Perbuatan rasuah akan mengancam seluruh sistem pembangunan sesebuah negara yang bakal melahirkan sebuah masyarakat yang kucar-kacir dan akan menjadi penyumbang kepada keruntuhan sesebuah bangsa. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang kami tunjukkan (lantik) untuk memegang sesuatu jawatan yang sudah kami tetapkan pula pendapatannya, jika dia mengambil lebih dari itu, maka sebenarnya dia sudah mencuri." Rasulullah mengutuk sesiapa saja yang memperoleh harta dan wang ringgit melalui rasuah. Khalifah Umar al-Khattab pada masa pemerintahannya juga sentiasa melafazkan perkataan amat berat dan kasar kepada pengamal rasuah. Kekeliruan dan kejahilan seseorang individu mengenai rasuah mungkin berpunca daripada pemahaman cetek terhadap kalimah rasuah itu sendiri yang disangka hanya membabitkan wang semata-mata.

Rasuah bukan saja membabitkan penggunaan mata wang, malah turut merangkumi aspek kehidupan lain seperti tidak menjalankan tanggungjawab mengikut tempoh ditetapkan atau berlaku tidak jujur dan menyeleweng melakukan sesuatu tindakan dan perbuatan. Pengamal rasuah biasanya akan lebih kuat menjalankan tugasnya apabila ditawarkan dengan pelbagai bentuk sogokan. Sogokan itu mungkin dalam bentuk hamper, buah tangan, hadiah, cenderamata atau apa saja yang dianggap sebagai perantara dan pemangkin kepada tercapainya sesuatu keinginan seseorang individu. Manusia yang mengamal rasuah ini jarang memikirkan segala tindak-tanduk adalah satu bentuk penganiayaan yang sengaja mereka rancang untuk menindas orang lain. Mereka yang tidak berhak diberikan hak dengan cara batil, sementara yang berhak sudah pasti akan kehilangan peluang walaupun mereka sebenarnya mempunyai kemampuan dan kudrat untuk melaksanakan sesuatu amanah dan tanggungjawab tertentu. Justeru, pengamal rasuah yang hidup saling tindas menindas ini semakin alpa dengan tuntutan agama. Kemewahan dan kekayaan segera yang diperoleh menutup pintu hati mereka daripada mengingati Allah, bahkan mereka seperti sengaja menimbun dosa dan noda kerana perbuatan sendiri. Rasulullah SAW sering berpesan kepada pegawai dan pentadbir pada zaman Baginda agar tidak menunjukkan kemewahan hidup yang mereka ada terutama ketika berurusan dengan orang ramai. Baginda pernah berkata kepada Muaz bin Jabal yang dilantik menjadi duta di Yaman. "Wahai Muaz, jauhilah hidup kamu dari keadaan serba mewah kerana hamba Allah yang setia bukanlah begitu sifatnya." Muaz mematuhi pesanan Rasulullah kerana tidak ingin menderhakai Allah dan tidak mahu tergolong dalam golongan umat Muhamad seperti dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: "Nanti akan ada di kalangan umatku yang memakan sajian makanan dan minuman yang bermacam-macam serta memakai beraneka jenis pakaian dan mereka bijak pula bercakap, berbual dan membelitkan lidah. Mereka itulah penjahat dalam umatku." (Riwayat al-Tabrani) Seorang pegawai Rasulullah di Bahagian Perbendaharaan Negara yang menjalankan tugasnya sebagai pemungut cukai bertemu Rasulullah untuk menyerahkan hasil kutipan cukai kepada Baginda. Kata pegawai itu, " Ya Rasulullah, inilah hasil negara dan ini pula hadiah untuk saya." Mendengar hal itu, air muka Rasulullah segera berubah, lalu Baginda berkata: "Aku sudah mengangkat seorang pegawai untuk satu pekerjaan. Sesudah dia bertugas, ada pula hak untuk negara dan hak untuk dirinya. Andainya dia duduk di rumah ibu bapanya dia akan mendapat hadiahkah sekiranya dia jujur? Janganlah kamu mengambil sesuatu yang bukan hak kamu supaya kamu tidak diseksa kerana wang atau pemberian itu pada hari akhirat kelak." Gejala rasuah banyak mencetuskan pelbagai kes jenayah seperti peras ugut, bunuh, dendam dan pelbagai gejala lain yang boleh memusnahkan kehidupan manusia secara keseluruhannya. Pengamal rasuah tidak akan mampu menggunakan akal dengan rasional kerana jiwa dan hati mereka sudah jauh terpesong daripada landasan syariat. Mereka sudah hilang rasa kasihan dan kemanusiaan sebaliknya mudah berkelakuan ganas dan zalim apabila tidak memperoleh apa yang mereka idamkan. Sudah tidak ada lagi rasa keinsafan dan kesedaran bahawa diri mereka milik Allah dan bakal kembali kepada-Nya.

0 comments: