CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »


"Setiap Lebaran Selalu Menyaksikan Cerita Menarik Dan Unik ,Untuk Hati Yang Mahu Menerima Kebenaran"

Wednesday, February 3, 2010

Isu Penggunaan Kalimah Allah



Salam...

Sudah lama saya tidak menulis entry.Kali ini saya terpanggil utk mencoretkan sesuatu pada blog ini.Isu penggunaan kalimah Allah,bagi kaum bukan islam cukup hebat dibicarakan,sehingga ada kt dapat merasakan semangat muhibah telah tercalit sedikit dengan tuntuntan yang dianggap cukup sensitif.Saya pernah mempunyai teman istimewa dari negara jiran(Merah putih),dimana nama Allah digunakan secara meluas bukan sahaja didalam islam,malah agama lain pun turut menggunakan kalimah yang sama.Isu perkahwinan dalam berbeza pegangan agama juga turut berlaku.Sebelum saya berbicara lebih dalam,marilah kita fahami dahulu kalimah ALLAH dalam diri orang melayu dan Islam.
Persoalan pokok yang menjadi asas penentangan orang-orang Melayu ialah makna kalimah ‘Allah' bagi orang Melayu. Oleh kerana isu ini berkait dengan penggunaan kalimah ‘Allah' secara khusus dalam bahasa Melayu, bagaimana kalimah itu difahami dan digunakan oleh orang Melayu adalah perkara paling utama dan mesti diambilkira. Kalimah ‘Allah' seperti yang difahami dan digunakan dalam Bahasa Melayu tidak pernah merujuk kepada tuhan seperti yang difahami, dikenali, dan disembah oleh orang Kristian. Justeru, menterjemahkan ‘God' dengan ‘Allah' adalah merupakan terjemahan yang salah. Kalimah ‘Tuhan' sebenarnya sudah memadai untuk tujuan itu, dan kedegilan mahu menggunakan kalimah ‘Allah' dilihat sebagi penzahiran permusuhan terhadap agama Islam melalui serangan terhadap keutuhan Bahasa Melayu itu sendiri.

Hak menggunakan sesuatu kalimah hanya sah apabila hakikat yang dirujuk oleh kalimah itu tidak lain dari hakikat yang dimaksudkan oleh kalimah itu. Menterjemahkan ‘God' sebagai ‘Allah' bukan semata-mata melibatkan pertukaran perkataan dan sebutan tetapi yang lebih penting ialah kesannya kepada akal dan fikiran.Bahasa membayangkan hakikat kewujudan. Menyeludupkan faham-faham kunci yang asing pada sesuatu bahasa melibatkan bukan semata-mata hanya menterjemahkan kata-kata, bahkan lebih mendalam kesannya, ia juga melibatkan penterjemahan rupacipta perlambangan yang dimiliki oleh sistem besar pandangan alam asing yang tiada bersesuaian dengan pandangan alam yang ditayangkan oleh bahasa yang ke dalamnya faham-faham itu diseludupkan.
Bantahan bangsa Melayu tidak sepatutnya ditafsirkan bahawa mereka mahu ‘memonopoli' kalimah itu. Sebaliknya mereka hanya menuntut supaya makna sesuatu kalimah tidak dipinda sesuka hati, dan kalimah yang tepat digunakan bagi merujuk kepada makna yang dimaksudkan. Jika ini dibiarkan lambat laun ‘agama kristian' akan diterjemahkan ‘agama Islam' dan ‘gereja' menjadi ‘masjid'.

Kalimah ‘Allah' bukan kalimah Melayu, bahkan bukan milik mana-mana bahasa manusia. Kalimah itu adalah milik Allah dalam ertikata itulah nama yang Dia Tanzilkan, dan dengan nama itulah Dia mahu diseru oleh hamba-hambaNya.

Pada pandangan seorang Muslim, amatlah pelik bagi suatu agama yang mendakwa agama yang benar dan ditanzilkan tetapi tidak mempunyai nama bagi Tuhan yang mereka seru manusia untuk menyembahnya.Kaum Muslimin tidak mencipta nama untuk Tuhan yang mereka sembah apatah lagi meminjam nama-nama dari mana-mana bahasa bagi merujuk kepada Tuhan. Mereka tidak biasa berbuat demikian kerana nama agama yang mereka anuti itupun (yakni Islam) dan nama orang-orang yang menyerah diri kepada Allah dengan mengikuti agama itu (Muslim/Muslimun) diberikan oleh Allah sendiri, bukan mereka yang menciptanya, apatah lagi diberikan oleh orang luar.

Disini saya mengambil jawapan dan hujah mengapa Kalimah Allah harus dipertahan daripada digunakan oleh bukan islam dari laman IKIM ( www.ikim.gov.my ).

Golongan pemuka agama Kristian dan yang bersetuju dengan mereka dari kalangan Kaum Muslimin telah berhujah bagi mempertahankan pandangan mereka dengan hujah-hujah berikut:

1) bahawa tiada larangan atau bantahan dari al-Qur'an, justeru ia dibenarkan. Hujah ini kita namakan Hujah Tiada Larangan (HTL);

2) bukti sejarah bahawa kalimah Allah telah digunakan oleh orang Arab semenjak sebelum Islam, dan terus digunakan oleh orang Arab Kristian khususnya sehingga hari ini.[5] Oleh itu, mereka berhujah, Kaum Muslimin, lebih-lebih lagi di Malaysia ini, tiada hak untuk melarang penggunaannya. Hujah ini kita namakan Hujah Siapa Dulu (HSD); dan

3) bahawa kalimah itu sudah digunakan dalam tulisan-tulisan agama Kristian sejak ratusan tahun dahulu. Manakala di kalangan masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak kalimah ini sudah lama digunakan. Hujah ini kita namakan Hujah Sudah Lama Guna (HSLG). Dari segi semangatnya HSLG tiada bezanya dengan HSD.

Bagi menjawab hujah-hujah di atas perlu ditegaskan terlebih dahulu bahawa kalimah ‘Allah' adalah nama khas (ism ‘alam), bukan kata terbitan (mushtaqq) dari mana-mana perkataan Arab. Pandangan inilah yang didokong dan dipertahankan oleh al-Imam Fakhr al-Din al-Razi (m. 606H). Menurut beliau, inilah pandangan al-Khalil dan Sibawayh dan ia disokong oleh kebanyakan Ulama' Usul dan para Fuqaha'. Al-Razi berhujah bahawa sekiranya lafaz ‘Allah' itu nama terbitan (mushtaqq) pastilah ianya boleh digunakan bagi merujuk kepada yang lain dari Allah. Jika ini diterima maka kalimah لااله الا الله tidak lagi menjadi kalimah tawhid kerana lafaz ‘Allah' tidak lagi merujuk kepada Dhat Allah semata-mata bahkan terbuka kepada yang lain dariNya juga. Oleh kerana telah disepakati oleh setiap yang berakal bahawa لا اله الا الله adalah kalimah tawhid, maka jelaslah pada kita bahawa kalimah ‘Allah' adalah Nama Khas yang merujuk kepada DhatNya Yang Maha Tinggi.

Bagi keterangan lanjutbagi mengupas mengenai isi ini,layarilah www.ikim.gov.my tag under Kalimah "Allah:Antara Nama dan Hakikat1".Insyaallah sedikit sebanyak akan mengupas serba sedikit mengenai persoalan dan padangan mengenai isu penggunaan kalimah ini.Apa yang saya fikirkan adalah,sy tidak mahu genereasi akan datang terkeliru dengan kebenaran mengenai ajaran islam.Biarlah anak-anak melayu beragama islam mengenal,bahawa kalimah Allah itu merujuk kepada tuhan yang maha esa dan tiada sekutu baginya dengan apapun.